Pages

Wednesday, 23 November 2011

PANDUAN MENDIDIK ANAK



Ibu bapa adalah faktor terbesar dalam menentukan hala tuju anak-anak. Beberapa tips dari Robert D. Ramsey yang boleh dijadikan panduan dalam menjadikan anak-anak antara yang terbaik berbanding rakan sebayanya yang lain! 


1. Mulakan hidup anak-anak dengan panggilan yang baik – apabila anak-anak diberi nama dan panggilan yang baik,secara tidak langsung ia turut mempengaruhi dan memberi kesan yang baik dalam perwatakan dan kelakuan anak-anak. Nama yang baik juga turut dituntut dalam Islam. 

2. Berikan anak-anak pelukan setiap hari – terdapat kajian yang menyatakan bahawa anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat berbanding anak yang jarang dipeluk. Apabila anak-anak dipeluk,mereka akan sedar bahawa ibu bapa sayangkannya. Anak-anak juga akan tahu bahawa ibu bapa sentiasa menjadi penyokong mereka. 

3. Pandanglah anak-anak dengan penuh kasih sayang – pandangan ini akan membuatkan anak-anak berasa lebih yakin kepada diri sendiri apabila berhadapan dengan persekitaran. Marah itu memang perlu supaya anak-anak tahu mana yang salah dan mana yang betul,namun kawallah marah,janganlah pula sehingga anak-anak menjauhkan diri dan berasa takut. 

4. Berikan penghargaan di atas setiap kebaikan – tidak semestinya hanya dengan pemberian hadiah,malah senyuman,pujian dan pelukan sudah cukup untuk membuat diri anak-anak terasa dihargai. Sekurang-kurangnya dengan penghargaan ini dapat dijadikan sebagai satu motivasi bagi anak-anak untuk melakukan lagi dan melakukan yang terbaik. 

5. Jangan mengharap lebih daripada apa yang anak-anak mampu lakukan – sedarlah bahawa anak-anak masih dalam proses perkembangan dan janganlah mengharapkan anak-anak akan berbuat sesuatu kebaikan secara berterusan kerana melakukan kesilapan merupakan proses untuk anak-anak belajar. 

6. Antara masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga - utamakan keluarga kerana apabila adanya masalah,selesaikan masalah keluarga terlebih dahulu. Seseorang hanya akan tenang apabila tiada masalah keluarga. Anak-anak tetap diutamakan kerana mereka sedang membesar dan proses ini akan terus berlalu tanpa kembali lagi.Ibu bapa tidak seharusnya bersikap mementingkan diri bagi menjaga keperibadian yang baik untuk dijadikan role model bagi anak-anak 

7. Jangan mengeluh dalam mendidik dan membesarkan anak-anak – ini bagi mengelakkan anak-anak merasa diri mereka sebagai beban terhadap ibu bapa. Ini juga supaya anak-anak tidak berasa jauh dan sunyi dari ibu bapa. 

8. Dengar cerita anak-anak – tidak dinafikan anak-anak memang suka bercerita. Dengarlah cerita mereka kerana sedarlah bahawa ibu bapa tidak akan dapat mendengar cerita itu lagi pada masa akan datang. Melayan anak-anak bercakap dan bercerita merupakan sesuatu yang sangat menyenangkan.Ianya juga hiburan yang takkan dapat dibeli. 

9. Tenangkan anak-anak setiap kali mereka memerlukannya - ada masanya anak-anak akan berasa sedih di atas banyak perkara.Bergaduh dengan kawan sekelas,tercederakan anak jiran.Pada masa inilah ibu bapa membantu menyelesaikan masalah anak-anak supaya mereka tidak merasa keseorangan. Ibu bapa perlu membantu kerana walaupun masalahnya kecil,namun bagi anak-anak masalahnya sangat besar. 

10. Tunjukkan kepada anak-anak cara untuk menenangkan diri – setiap masalah ada jalan penyelesainya. Ibu bapa seharusnya bersikap tenang apabila berhadapan dengan sebarang masalah untuk menjadi ikutan kepada anak-anak dan tidak bersikap tidak tentu arah. 

11. Buat persediaan menyambut hari jadinya – tidak semestinya dengan menyambut secaran besar-besaran,sudah memadai dengan menyediakan hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuat anak-anak belajar menghargai. Anak-anak yang datang dari persekitaran yang menghargai akan mampu untuk belajar menghargai orang lain. 

12. Mengajar anak-anak lebih dari sekali – ada sesetengah anak-anak yang perlu diajar secara berkali-kali barulah mereka dapat memahami sesuatu dengan baik. Jadi,jangan marah terhadap mereka apabila bertanyakan tentang sesuatu hal yang sama berulang kali. Ini bagi mengelakkan proses pembelajaran anak-anak terbantut. 

13. Luangkan masa bersama anak-anak – ini bukan sahaja terhad di dalam rumah,malah turut meluangkan masa di luar.Sama ada bersiar-siar ataupun berkelah di hujung minggu. Peganglah tangan anak-anak apabila berjalan bersama. Anak-anak akan merasa kepentingan diri mereka dalam hidup ibu bapa. Memimpin tangan anak-anak tidak terbatas semasa di luar rumah sahaja,malah apabila anak-anak bangun tidur,ke meja makan, malah ke dapur untuk membancuh susu mereka. 

14. Dengar mimpi ngeri anak-anak – mimpi ngeri akan menjadi begitu realistik dalam dunia mereka walaupun itu hanyalah sekadar mimpi. Tidak ada salahnya mendengar cerita mimpi ngeri anak-anak kerana ianya diceritakan secara langsung,tiada skrip,tiada pengarah dan tiada siaran ulang tayang. 

15. Hargai permainan kesayangan anak-anak – apabila permainan kesayangan mereka dihargai,dalam masa yang sama juga anak-anak akan menghargai barang-barang kesayangan ibu bapa. Walaupun sudah rosak,elakkan daripada membuang permainan kesayangan anak-anak. Mintalah kebenaran daripada mereka terlebih dahulu. 


16. Berikan ciuman selamat malam – jangan biarkan anak-anak tidur tanpa ciuman selamat malam. Biasakan anak-anak dengan salam sebelum masuk tidur. Selimutkan,dan cium dahinya apabila mereka sudah lena. 

17. Terimalah hakikat kadangkala ibu bapa tidak sempurna – bagi mengelakkan stress,jangan terlalu berfikir untuk menjadi ibu bapa yang sempurna dari semua aspek. Apabila terdengar anak-anak berkata ‘papa ni garanglah’. Itu teguran sebenarnya. Jadi,tidak salah untuk berubah demi kepentingan anak-anak dan bagi mngelakkan anak-anak berasa rendah diri kerana merasakan ibu bapa terlalu sempurna. 

18. Jangan membawa bebanan kerja ke rumah - apabila ini berlaku,anak-anak akan menganggap bahawa kerja lebih penting daripada keluarga. Utamakanlah keluarga ketika berada di rumah. Ibu bapa juga boleh membantu untuk menyiapkan kerja sekolah anak-anak ataupun memberi latihan di rumah. 


19. Anak-anak menangis – menangis merupakan cara anak-anak untuk melegakan keresahan mereka dan kadangkala untuk mendapatkan perhatian. Walauapapun sebabnya,dengarilah tangisan mereka supaya mereka tidak menjauhkan diri dari ibu bapa di kemudian hari. 

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan – seperti ibu bapa,anak-anak juga mempunyai perasaan.Hargailah perasaan anak-anak supaya anak-anak juga menghargai perasaan ibu bapa. 

- Berdoalah agar anak-anak menjadi penyejuk mata dalam kehidupan dan sebagai penenang hati di dunia & di akhirat kelak - 


No comments:

Post a Comment